Seorang penyair mengatakan:

Setiap penulis pasti akan mati dan berlalu
tetapi waktu akan mengabadikan apa yang ia tulis itu
maka janganlah menulis dengan tulisan tangan Anda
selain yang membuat Anda bergembira
pada Hari Kiamat ketika melihatnya.

Wednesday, December 28, 2011

Cinta Tuhan



Cinta Tuhan tidak bertepi,
kasihNya mencurah saban hari,
entah mengapa hamba yang berlari,
sedang Tuhan sentiasa mengejari.

Hari baru adalah peluang,
mengapa hamba tidak menyedari,
saban hari dosa baru ditatang,
dosa semalam belum pula dicuci,

Tuhan dengan cintaNya menyampaikan ingatan,
agar hamba memberikan perhatian,
mengapa tidak memilih menjadi yang berkesedaran,
apakah sengaja mencabar Tuhan?

Lihatlah dunia serba sempurna,
ini semua bukti cintaNya,
matahari, bulan, bintang,
udara, air dan pelbagai binatang,
Jangan sampai hari Dia menghilangkan semua itu tiba,
saat itu Cinta Tuhan hanya kepada yang mencintaiNya.
Celakalah yang memilih untuk celaka,
dan berjayalah bagi yang memilih untuk berjaya.

Saat ini peluang masih terbuka,
mengapa memilih untuk alpa dan leka?
Matahari masih terbit,
nyawa masih ada,
mengapa tidak kita berikan perhatian,
kepada apa yang telah Dia curahkan?

~ Hilal Asyraf ~
1322
191211
Irbid,
Jordan

Puisi Sejuta Mentari.


Kita mohon keselamatan daripada Allah,
Agar kita tidak dibakar oleh neraka,
Yang hangatnya melebihi sejuta mentari dunia.

Kita mohon keselamatan daripada Allah,
Agar kita tidak dibakar dengan dosa-dosa kita,
Hasil tangan dan lidah,
Kebusukan hati dan jiwa,
Juga godaan keburukan orang lain ke atas kita semua.

Kita mohon kekuatan,
Daripada Tuan Punya Syurga,
Untuk merahmati kita,
Mengampunkan segala dosa,
Dan memasukkan kita ke dalamnya.

Kita mohon perlindungan,
Daripada Tuan Punya Neraka,
Untuk menyelamatkan kita,
Dari kepanasan yang melebihi sejuta mentariNya.


~ Hilal Asyraf ~
12.00
241211
Irbid,
Jordan.

Allah SWT Uji Kita, Kerana Dia Sayangkan Kita

Bertaqwalah ketika berbicara,

kerana Dia pasti menguji apa yang kita kata.

Bertaqwalah ketika melakar tinta,

kerana Dia akan menguji segala yang dicoret oleh pena

Bertaqwalah ketika menghubungkan persaudaraan,

kerana Dia akan menguji ketulusan ukhuwah yang dibina

Bertaqwalah ketika memberi,

kerana Dia akan menguji keikhlasan hati

Bertaqwalah ketika menerima,

kerana Dia berhak untuk mengambilnya semula

Bertaqwalah ketika meniti kehidupan,

kerana Dia mengamati dan menilai setiap perbuatan

Bertaqwalah ketika ditegur atau dikritik menguris rasa,

kerana Dia sedang menguji kerendahan jiwa

Bertaqwalah kepada-Nya, kerana kamu adalah hamba!


http://brohamzah.blogspot.com/2011/12/allah-swt-uji-kita-kerana-dia-sayangkan_21.html

MENGGARAP CINTA



Bukan cinta namanya
jika masa senang dikecapi bersama
tapi masa susah kau berkeluhkesah
Bukan cinta namanya
jika di depan kekasihmu kau setia
tapi bila dia tiada di sisi kau menduakannya
Bukan cinta namanya
jika bibirmu ucap sayang
tapi hatimu gila bayang pada yang lain
Bukan cinta namanya
jika bicaramu selalu memujinya
tapi kau melayan kekasihmu separuh hati
Bukan cinta namanya
jika kau mengharap dibelai selalu
tapi kau membelainya cepat jemu

Tanyalah pada dirimu kau mengharap garapan cinta
yang seindah mana
tapi kau melakarkan kasihsayang pada kanvas kehidupan
dengan kesungguhan atau dalam kelelahan

Jadilah suami sebaik ciri-ciri sebaik mana kau mahukan dari isterimu
Jadilah isteri sebaik ciri-ciri sebaik mana kau mahukan dari suamimu
Hanya yang memiliki sesuatu dapat memberikan sesuatu
Usah mengharap kau diberi jika jarang mahu memberi
Adilkah jika kita mengharap sesuatu yang terbaik dari seorang kekasih
tapi kita tidak berusaha menjadi kekasih terbaik buat yang kita cintai

Digarap secara spontan
Savannah Hill, Sg. Tiram
28 Dis. 2011, 10:00 pagi

Friday, July 1, 2011

Andai Ini Yang Terakhir


























Andai Ini Yang Terakhir
Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangmya sibuk berzikir
tentu tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu...merayu...kepadaNya Tuhan
yang satu

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tentu solat kukerjakan di awal waktu
solat yang dikerjakan ...sungguh khusyuk
lagi tawaduk
tubuh dan qalbu, bersatu
memperhambakan diri
menghadap Rabbul Jalil....menangisi
kecurangan janji
'Innasolati wanusuki wamahyaya
wamamati lillahirabbil 'alamin'
(sesungguhnya solatku, ibadahku,
hidupku dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan
seru sekalian alam)

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kusiakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan al-Quran bakal kau dendang...
bakal kau syairkan

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih
berqiamullail, bertahajud
mengadu...merintih..meminta belas kasih
"Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke SyurgaMu
tapi kujuga tidak sanggup untuk ke NerakaMu"

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tentu diriku tak akan melupakan yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kutahu ini Ramadhan terakhir
tentu kubakal menyediakan batin dan zahir
mempersiapkan diri, rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling bererti
paling berseri menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju redha serta
kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami
di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini yang terakhir kali
bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu
hanyalah berusaha...bersedia...meminta belasNya

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat aku
maafkan semua kesalahan dan kesilapan
yang pernah aku lakukan
"Marhaban Yaa Ramadhan"

( Hayati puisi Andai Ini Yang Terakhir ditulis
Allahyarham Abdul Bar Mohd Khalil yang
meninggal dunia akibat barah hati pada usia
46 tahun, pada Februari 2007,
meninggalkan seorang isteri,
tidak dikurniakan anak )

Nota kaki :
1 Ramadhan 1432; 1 Ogos 2011
1 Ramadhan 1431; 11 Ogos 2010

Friday, February 18, 2011

Buatmu Muslimah Solehah


Insan yang telah berikrar setia menunaikan tugas mulia sebagai Muslimah
Sentiasa bersabar menghadapi berbagai rintangan hidup yang mendatang
Yang sentiasa berupaya mewujudkan cita-cita mulia dan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Akhlakmu begitu mempersona, sopan dan menyejukan mata
Tutur bicaramu melegakan jiwa yang lara
Penampilanmu terhias dengan panduan agama
Perisai malu menjadi pakaian keperibadianmu yang utama
Dan, semangat juangmu yang sentiasa membara dalam jiwa

Semuanya, bersatu padu dalam dirimu
Agar menjadi wanita yang dirindu Syurga

Ketahuilah, wahai muslimah yang luhur

Kehilanganmu, bererti kehilangan untaian talian cinta,
Ketiadaanmu, bererti ketiadaan generasi manusia,
Kebaikanmu, bererti kebaikan segenap semesta,
Keburukanmu, bererti kehancuran tiang negara.

Ketahuilah wahai saudariku mukminah solehah,

Tidak akan pernah kita temui kenikmatan hakiki tanpa perjuangan sejati, tidak pernah kita jumpai kebahagiaan tertinggi tanpa pengorbanan tiada henti. Apa yang kita persembahkan untuk meninggikan agama Allah tidak pernah sia-sia.

Ibarat cahaya, ia akan sentiasa menerangi,
Ibarat pohon rendang, ia akan menaungi,
Ibarat bunga mawar, ia sentiasa harum mewangi

Senyumanmu, akhlakmu, budi pekertimu, sahsiahmu adalah kekuatan, kemewahan dan kekayaanmu yang sebenar.

Jadilah dirimu yang sebenar sesuci fitrah insani, agar disayangi makhluk duniawi dan dirindui hati-hati yang mencintai Ilahi.

Agar Bidadari di syurga, mencemburuimu kerana mutiara berharga yang terpendam di dalam dirimu

Peliharalah dirimu dan perindahkanlah keperibadianmu
Agar dirimu menjadi wanita muslimah solehah yang dicintai, dikasihi dan diredahi Ilahi

Yakinilah ukhti mukminah,

Keindahan sanubari
Kedamaian hati
Ketenteraman batini
Kelembutan sahsiah diri
Akan terpancar dari setiap diri mukminah yang tulus ikhlas memilih jalan yang mulia ini,

Jalan yang dihampari dengan duri-duri
Yang mungkin akan tertusuk dikaki
Namun, jauh disudut hati
Inilah jalan menuju Ilahi

Muslimah yang tetap teguh menyusuri al-haq dengan keimanan yang hakiki
Membasmi yang batil dengan gagah berani
Tidak pernah gentar dan takut mati.

Semoga dirimu, benar-benar dicintai Rabbi.
Women Of Heaven
-----------------------------------------------------------

Titipan buat mereka-mereka yang bergelar wanita, kalian adalah insan ciptaan Allah SWT yang istimewa. Memiliki kekuatan yang luar biasa, andainya kehidupan ini didasari keimanan, keyakinan, kepasrahan dan pergantungan hanya sanya untuk Allah SWT.

BroHamzah

Bingkisan Buat Yang Masih Muda




















buat
hati-hati yang belum mati
buat
diri yang rela menerima
kebenaran Ilahi


kita muda
tapi tidak selama-lamanya
kita hidup
pun tidak selama-lamanya
tetapi akan berakhirkah semuanya
tanpa pengisian yang bermakna

masa muda datang hanya sekali
apakah sekadar masa berhibur tawa
mengecapi nikmat duniawi sepuas-puasnya
bertangguh ibadah

bila usia menggamit tua nanti
para syaitan pula membisikkan
lama lagi kita akan mati
memperdaya agar kita
bertangguh beramal soleh


alangkah sia-sianya
masa muda kita berlalu begitu sahaja
tidak bisa pula diputarkan kembali
di Darul Akhirah, Allah bertanya
'ke manakah usia muda telah dihabiskan'
mampukah kita memberi jawaban?

wajarlah kita menghargai masa muda
memanfaatkannya sebaik-baiknya
kita perlu kembali kepada Islam
sehingga kita layak dipanggil muslim sejati
sehingga kita layak menjadi mukmin sebenar
sehingga kita beroleh Daulah Islamiah

perlu kita sedari
kita dikelilingi realiti jahiliah
jahiliah mengusai di mana-mana
Islam dan jahiliah saling bertentang
Islam dan jahiliah tiada titik persamaan
jahiliah tidak layak dibiarkan
menguasai dan memimpin manusia dan dunia
relakah kita memilih jahiliah
yang dipimpini syaitan
yang menuju kesesatan dan kegelapan
bukankah lebih baik kita pilih Islam
Jalan lurus yang diredhai Allah
yang menuju kebenaran dan cahaya

andai selama ini kita lebih dikenali
sebagai atas nama bangsa dan negara
maka sudah masanya kita bernama
atas nama Islam sahaja
memahami tugas utama dan asasi kita
adalah mengembalikan pimpinan
ummah dan dunia dari tangan jahiliah
kepada Islam yang hanif
tugas yang berat ini
tidak mampu kita pikul
tanpa kefahaman dan kesedaran sebenar
terhadap Islam yang syumul
dengan kepercayaan dan keyakinan
bahawa Islam adalah yang terbaik
agar kita tidak berpaling
di tengah perjalanan sebuah perjuangan

akan berjayakah perjuangan
tanpa persiapan dan perbekalan
yang cukup mantap dan rapi
pastikan keringat dan pengorbanan kita
tertumpah hanya dalam membina Daulah Islamiah
bermula dari dalam diri
seterusnya keluarga, masyarakat dan negara
aqidah dan keimanan yang sahih
kita jadikan benteng pertahanan
terampuh dari serangan jahiliah
yag tidak pernah rela Islam
menguasai manusia dan dunia
jahiliah yang berusaha
memalingkan kita semua
dari terus melalui jalan yang lurus
hanya dengan kefahaman dan kesedaran
yang sebenar
barulah kita tidak mudah tertipu
dengan gambaran indah tetapi palsu dan keliru
yang dicanangkan oleh jahiliah
yang cukup gentar pada kebangkitan
para pemuda yang sedar dan ikhlas
memiliki keazaman yang kental
dan kesungguhan yang padu
dalam memperjuangkan Islam
lantaran jahiliah merasakan
kekuasaan dan kepentingan mereka tergugat
bilamana mereka tidak lagi
dapat menguasai dan memperhambakan manusia
bila manusia mula mengembalikan kedudukan Allah
sebagai penguasa dan pentadbir sebenar
bila manusia kembali taat dan tunduk sepenuhnya
kepada Allah
kepalsuan jahiliah akan terserlah

lantas perjuangan mendaulatkan Islam ini
sebagaimana yang dikehendaki Allah dah RasulNya
penuh dengan rintangan, ujian dan pengorbanan
yang terbentang di hadapan kita
bukanlah permaidani merah
mewangi taburan bunga
tetapi tersedia onak ranjau
yang tidak terperi sakitnya
bagi menguji siapakah
yang benar-benar beriman

bersama-samalah kita wahai pemuda
menjadikan diri-diri kita
dengan nama mulia, pemuda Islam
bukan lagi dengan nama-nama lain
yang remeh lagi mengaibkan
buktikanlah bahawa Allah & Rasulnya
lebih kita pilih dan kasihi
melebihi dari yang lain-lain
hatta terhadap diri kita sendiri
berpindahlah kita dari kegelapan jahiliah
menuju cahaya Islam yang suci murni
mulakanlah langkah yang panjang
memakan masa
menagih kesabaran dan keimanan
tanpa berhajatkan pujian dan sanjungan
tanpa gentarkan celaan & herdikan
memadailah rahmat dan redhaNya
jua yang terlebih berharga
dari dunia dan segala isinya

15/05/08 : 1.50 pm
Nota kaki: Disiarkan semula sempena usiaku 47
pada 16 Februari 2011

Saturday, February 12, 2011

Warkah Buat Sahabat















Warkah Khas mereka yang mahu digelarkan sebagai Ansarullah

Sahabat,
apa khabar dirimu hari ini?
Bagaimana dengan imanmu?
Bagaimana dengan perjuanganmu?
Apakah masih tegar kamu di medan ini?
Ketahuilah sahabat, apabila selangkah kita menghayunkan kaki ke alam perjuangan ini,
sekali pun kita tidak dijanjikan dengan kemewahan, apatah lagi kesenangan.
Sebaliknya, kita dijanjikan kehidupan yang penuh penderitaan ,
kepedihan dan pengorbanan didalam perjuangan,
dan itulah menjadi kayu pengukur apakah teguh
dan istiqhamahnya kamu dialam ini.
Dengan itu, teguhkanlah dirimu sahabat,
agar kau tetap tegar didunia ini,
dan terus menghayunkan langkah hingga nur jihadmu
terpancar bersama saf-saf pejuang lillah.

Sahabat,
untuk menjadi pejuang yang qawiy,
perlu ada kesabaran yang teguh,
untuk menghadapi segala ujian-ujian.
Kenapa harus untuk diuji?

ya, kerana kita impikan syurga,
maka sewajibnya untuk menghadapi segala ujian dengan penuh keteguhan,
kesabaran dan keimanan yang mantap.

Sahabat, ayuh kita terus melewati jalan ini
agar kita mampu memegang status sebagai 'penghuni syurga' kelak.

Jadi, ayuhlah sahabat, mari kita jual diri kita sebagai penolong agama Allah, biarpun diri disakiti, biarpun hati disiakiti, supaya nyawa kita dihantar sebagai penyemarak api di medan perjuangan. Tinggalkanlah kenikmatan persinggahan fana ini, agar jannah menjadi perkampungan yang abadi.

Tuesday, February 8, 2011

Jalan Da'wah dan Tarbiyyah..


Jalan ini jalan para muliawan..
Jangan rasa lemah!
Sama-sama memperingati..
Jalan Da'wah dan Tarbiyyah..

Ia bukanlah jalan yang senantiasa ditabur bunga,
direnjis mawar,
bukan juga jalan yang membuatkan kita,
tersenyum sentiasa.

Ia merupakan jalan yang punya batuan dan duri,
malah di sepanjang perjalanan,
ada sahaja bertembung dugaan dan masalah,
yang sengaja ALLAH titipkan sebagai ujian.

Ya, ALLAH mahu menguji,
adakah benar-benar kental iman kita,
sehingga mampu melepasi ujian tersebut?

Meskipun begitu, yakinilah!
Hanya ini jalannya yang membuatkan kita tenang,
pabila sampai di penghujung jalan,
yang menghadirkan sekuntum senyuman,
saat melangkah kanan
ke SYURGA FIRDAUSI..

Salam Perjuangan daripada Aisyah Ulya

Created by Aisyah Ulya
24 April 2010 8:42 am

Wasiat Rasulullah kepada Muaz

"Wahai Muaz
kuwasiati agar
bertakwa kepada Allah,
berbicara yang benar,
teguh memegang janji,
menyampaikan amanat,
meninggalkan khianat,
mengasihi anak yatim,
menjaga tetangga,
menahan amarah,
berbicara lembut,
memberi salam,
setia pada imam,
memahami al-Quran,
menyukai akhirat,
memprihatinkan hisab,
memendekkan angan-angan,
dan beramal baik.
Serta aku larang engkau
memaki orang Islam,
membenarkan orang dusta,
mendustakan orang benar,
menderhaka imam adil,
dan membuat kerosakan di muka bumi."

Badi' az-Zaman Sa'id alNursi

Dunia ini adalah kitab Allah Yang Maha Abadi. Segala sesuatu di atasnya tidak memberi apa-apa, tetapi ia menggambarkan dan membuktikan kekuasaan dan sifat Penciptanya. Oleh itu tinggalkanlah segala gambaran-gambaran itu dan perhatikanlah apa yang menjadi pengajaran darinya.

Dunia ini adalah perladangan. Oleh itu bercucuk tanamlah dan tuailah hasilnya. Jangan dibiarkan ia dipenuhi semak dan duri dan kekotoran.
Puisi-puisi RS^


ANDAINYA AKU PERGI

Tiada apa yang dapat kukesali
andainya mentari pagi
tidak akan dapat kutatapi
memang itu janjiMu Ya Ilahi
tiap yang hidup pastikan mati.

Tiada apa yang dapat kubekali
hanya amal ibadat duduk di sisi
harta benda tidak bererti
itu semua hiburan seketika
pasti ianya lenyap jua.

Aku tidak mahu ditangisi
andainya aku pergi
tetapi yang aku idami
ampun maaf semua sekali
doa untukku usah dilupai
agar terampun dosa yang kulakui.

Hayati Yahaya

Cantiknya kerana iman dan taqwa,

Ya Allah,
Izinkan daku menjadi sekuntum bunga,
Yang dihiasi dengan kelopak akhlaq mulia,
Harum wanginya dengan ilmu agama,
Cantiknya kerana iman dan taqwa,

Namun keindahan zahirnya ku simpan rapi,
Biar menjadi rahsia yang kekal abadi,
Bukan perhatian mata ajnabi,
Yang menjadi punca fitnah hati,

Ya Allah,
Timbulkanlah duri yang memagari diri,
Agar diriku terpelihara dari noda duniawi,
Yang akan menghilangkan keharuman sejati,
Yang akan memudarkan kecantikan diri,

Disebalik kekurangan yang tercipta,
Bukanlah alasan untuk bermuram durja,
Kerana setiap yang tercipta ada hikmahnya,
Izinkan ya Allah agarku menjadi permata,
Tetap menyinar walau di lumpur hina,
Tetap berharga walau dimana saja,
Buat ummah dan juga keluarga,

Izinkan daku menjadi seindah mawar berduri,
Yang menjadi impian setiap muslimah,
Yang indahnya bukan untuk lelaki,
Tapi permata buat yang bernama suami...


http://nurulfarienaasli87.blogspot.com/

Mengenali Syeikh Abbas Asisi: Penyeru Cinta Dakwah

Thursday, January 22, 2009













Pada tanggal 8 Ramadhan tahun 1425 H bertepatan dengan tanggal 22 Oktober 2004 dakwah Islam telah mengakar di Mesir, Syeikh Abbas As-sisi –rahimahullah- salah seorang tokoh pada tahun 30 an, pemilik institusi khusus dakwah yang dikenali dengan sekolah penuh cinta kerana pemiliknya terkenal dan masyhur dengan seorang yang penuh cinta, murah senyum, hati yang lapang dan terbuka. Beliau merupakan salah seorang dari sekian banyak orang yang tidak pernah kering dengan ideologinya dan amat teguh dalam dakwahnya walau dengan cubaan dan ujian yang berat yang menimpa dakwah di Mesir, bahkan beliau menerimanya dengan penuh cinta, syiar beliau yang paling terkesan adalah “Dakwah kepada Allah adalah cinta” dan bahkan syiar tersebut menjadi judul buku pada sekolah dakwah, dan dikenal oleh banyak generasi bahawa dakwah adalah cinta dan bahawasanya dakwah Islam tidak mengenal kekerasan.

Tentunya tidak asing bahawa beliau memiliki banyak pengikut -25 ribu atau lebih- dari pemuda yang mencintai beliau dan menimba ilmu dan pembinaan di sekolahnya, mendapatkan konsep-konsep tarbiyah yang dianggap telah usang dan konsep-konsep tarbiyahnya yang telah hilang dari banyak generasi di masa awal setelah mereka ditempa tarbiyah ala militer dan nilai-nilai keperajuritan yang keras, yang telah menghabiskan masa muda mereka di balik jeruji besi dan berkunci rapi; sehingga memberikan pengaruh yang sangat besar terhadap manhaj dakwah ketika berhadapan dengan ujian dan siksaan.

Adapun beliau setelah keluar dari penjara seperti seorang yang lebih muda dari para pemuda lainnya; banyak senyum dan toleran walaupun terhadap musuhnya, dan melalui tangan beliau yang halus dakwah Islam bergerak, khususnya di tengah para pemuda “Jamaah Islam” di beberapa universiti di Mesir, metode dan sekolah beliau menjadi sebab bergabung dan bersatunya -terutama jamaah al-ikhwan al-muslimun pada tahun 70 an-, para ulama seperti Ibrahim Az-Za’farani dan Khalid Daud di Alexandria, Abdul Mun’im Abdul Futuh dan Hilmi Al-Jazar di Kaherah, dan Abu al-Ala Madhi di pedesaan.

Guru para pemuda tentang cinta dan perasaan

Abbas As-sisi merupakan sosok penghubung yang lembut dengan para pemuda terutama saat pecah gerakan kebangkitan Islam pada tahun 70 an yang memiliki pengaruh sangat besar dari terhindarnya para pemuda pada garis keras dengan manhaj dan metode dalam berdakwah kepada Allah yang bijak bijak.

Abbas As-sisi juga memiliki pengaruh yang besar dalam meluruskan etika dan perilaku Islam khususnya di Kota Alexandria -sebagai salah satu pusat kebangkitan yang menjadi medan dakwah yang luas-, mungkin hanya sedikit dari para da’i yang menerapkan kaidah ini dalam perilaku dan interaksi hingga dapat memberikan kelembutan di antara para pemuda dengan dai penyeru perasaan; kerana begitu banyak yang dibicarakan dan ditulis serta dimotivasi sehingga memiliki hubungan dengan beliau.

Abbas As-sisi (1918-2004) merupakan salah seorang da’i generasi awal dalam harakah Islam yang gigih dalam berkomunikasi dengan para pemuda dan memfokuskan dakwah kepada mereka, berinteraksi dengan mereka selama beberapa tahun antara kemajuan dan kemunduran. Beliau memiliki banyak pelajaran yang mampu memberikan pengaruh pada setiap tingkatan. Beliau juga telah menyaksikan kemajuan dakwah Islam pada kurun waktu tahun 80 an yang merambah ke dalam berbagai universiti di seluruh pelusuk kota di Mesir. Sebagaimana beliau juga merupakan salah seorang da’i terkemuka sehingga nadwah yang dihadiri oleh beliau pada tahun 1984 berjumlah 27 nadwah. Sosok yang gigih dalam mensosialisasikan ruh yang lurus dan tawadhu pada diri pemuda, jauh dari pengaruh akibat kemenangan yang mendapat bahaya ketika berkomunikasi langsung dengan para pemuda.

Begitupun muhadhoroh-muhadhoroh beliau di kota Alexandria setelah dimulainya gerakan pengikisan di berbagai universiti Mesir, dan setelah terjadi benturan antara gerakan dan kekuasaan yang berakibatk pada tersosialisasikannya persatuan pelajar, lembaga sosial dan aktiviti di masjid-masjid, memberikan pengaruh besar dalam menenangkan jiwa yang bergolak dan menghilangkan sikap ekstrim, setelah adanya pertemuan dalam muhadhoroh saat itu.

Beliau tidak pernah meremehkan undangan para pemuda untuk berjumpa dengannya, kerana beliau memang gigih dalam menanamkan ruh cinta dan ukhuwah diantara mereka, sebagaimana beliau tidak pernah melewatkan waktu sedikitpun untuk berkunjung, beliau berkata :

“Saya pernah diundang untuk ziarah pada sekumpulan pemuda, dan memakan waktu perjalanan selama 3 jam ! dan ketika tiba, saya dapati mereka telah menyambut saya sambil duduk! Mereka diam seperti batu, perasaan mereka seakan kosong, mata mereka seakan mati, akhirnya salah seorang yang tertua dari mereka menghampiri saya lalu saya sampaikan kepada mereka dengan tanpa perasaan dan ruh. Setelah selesai berbicara mereka berterimakasih kepada saya dan saat saya keluar seakan saya berta’ziyah pada orang yang meninggal!! Lalu saya kembali dengan sedih terhadap apa yang saya saksikan dan lihat!!

Waktupun berjalan; hari demi hari, minggu demi minggu, datang kepada saya salah seorang akh yang mengundang saya sebelumnya, datang mengundang sekali lagi untuk mengunjungi mereka.

Saya katakan kepadanya: Kemana?

Dia berkata: kepada Ihkwah.

Saya katakan kepadanya: apakah mereka ikhwah?

Dia berkata: Ya.

Saya berkata: Mustahil mereka dapat merasakan makna ukhuwah, bagaimana mereka seorang ikhwah…padahal datang kepada mereka seorang tamu, perjalanannya memakan waktu 3 jam, datang dengan penuh kerinduan yang membara, perasaan yang bergelora, dan jiwa yang lapang. Namun mereka menerimanya dengan perasaan yang lesu dan duka. Begitulah kehebatan tokoh ini begitu menghargai dan menghayati nikmat ukhwah dalam berjamaah.


http://tarbiyahpewaris.blogspot.com/2009/01/mengenali-syeikh-abbas-asisi-penyeru.html

Mengenang Pemergian Abbas Assisi

Menjelang buka puasa 11 Ramadhan yang lalu (1425 H) seseorang memberitahu sebuah berita duka. Tiga hari sebelumnya, 8 Ramadhan Ustadz Abbas As-Sisy wafat setelah tidak sedar selama dua minggu dan mendapat perawatan perubatan secara intensif di sebuah hospital di Alexandria.

Jika Allah memuliakan sebahagian tempat atas lainnya. Maka untuk meraih tempat berkah tersebut kita mesti menziarahi ke sana. Selain itu Allah juga meninggikan darjat sebahagian waktu atas yang lainnya. Kita tunggu atau tidak, waktu tersebut akan melewati kita. Dan setelah itu terserah kita. Memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya atau bahkan bersikap tidak acuh dan seolah ia tidak ada.

Apapun sikap kita, Ramadhan telah menemui kita. Ustaz Abbas pun mendapat sebuah kehormatan dipanggil Allah di bulan mulia ini. Meskipun mungkin selama Ramadhan beliau tidak melakukan apa-apa. Tapi bukankah ketika beliau sedar beliau menafkahkan seluruh hidupnya untuk kemaslahatan dakwah Islamiyah. Kerana itu tidak berlebihan seandainya 8 hari beliau di bulan ini dihitung dan dilipatgandakan oleh Allah. Dia lah yang Maha mengetahui. Maha Pengasih yang sangat luas cintanya.

Ustaz Abbas memang tidak sepopular Syeikh Yusuf al-Qaradawy yang buku-bukunya sudah diterjemahkan ke berbagai bahasa.

Lelaki yang tamat usia pada tahun ke 86 ini mewaqafkan hidupnya untuk sebuah idealisme risalah dakwah. Semasa kecil beliau sangat mahir bermain bolasepak dengan lincah. Beliau bahkan mengaku tidak pernah membayangkan akan boleh menulis. Seperti yang diungkapkannya di mukaddimah Fi Qafilah al-Ikhwan al-Muslimin.

Buku setebal 855 halaman ini merupakan sebagian catatan perjalanan hidupnya. Pertemuannya dengan Hasan al-Banna, teman dan sekaligus gurunya yang mengajarkan kekuatan cinta. Beliau meresapi benar petua sang guru, "Perangilah manusia dengan (senjata) cinta."

Saya baru saja merancang untuk bertemu dengan beliau. Kerana lintasan berbagai peristiwa yang beliau rakam dengan goresan tinta benar-benar sarat pelajaran dan ibrah. Saya belum sempat menamatkannya. Kerana ingin perlahan-perlalan menelusuri sejarah beliau. Kisah yang sangat unik, menarik dan bukan fiktif.

Beliau adalah guru cinta bagi dakwah al-Ikhwan al-Muslimun (IM). Ceramah dan tulisan-tulisannya selalu ditargetkan buat membidik hati. Bukan sekadar menebar pesona dan simpati. Namun, kekuatan karisma, cinta dan rasa persaudaraan yang tinggi.

Beliau adalah "sisa-sisa" generasi awal IM yang melalui hari-hari pahit di balik jeriji dan berbagai intimidasi serta tuduhan stigma subversif. Kegigihannya tidak menjadikan gaya hidup beliau menjadi keras. Sebaliknya, lelaki berambut putih itu selalu menebar senyum untuk siapa saja. Dalam keadaan apa saja. Di mana saja. Jelas, keteduhan yang dalam akan nampak di wajahnya yang meski dimakan usia tapi tetap berseri menawarkan semangat hidup yang tidak pernah padam.

Lihat saja dalam tulisan-tulisannya, ath-Thariq ila al-Qulub (Jalan Menuju Hati), Da'wah ilallahi Hubb, al-Hubb fillah Risalah, adz-Dzauq Suluk ar-Ruh dan lain-lain. Bacalah bukan hanya dengan mata. Hati Anda benar-benar telah ditariknya.

Kegigihan dan keberaniannya tidak pernah diragukan. Beliau terlibat dalam perang dunia 1940 di Gurun Barat (Gharbea). Beberapakali mengalami penangkapan. Dan pada awal 80-an menjadi salah seorang perintis dakwah IM di luar negeri.

Saya sebenarnya kecewa. Tidak ada satu media pun yang memberitakan kepergiannya. Mengulas profilnya untuk diketahui perjuangannya dan dijadikan ruh perubahan. Sabtu, Ahad, Isnin pun berlalu. Tidak satu pun menyebut namanya. Sampai akhirnya saya menemuinya di Tabloid Mingguan Afaq Arabia. Tabloid parti pembangkang ini mengulas panjang profil beliau dan komentar tokoh-tokoh penting IM. Termasuk diantaranya, pimpinan spiritualnya, Syeikh Muhammad Mahdy 'Akif.

IM kehilangan salah satu tokoh pentingnya. Dan umat Islam juga merasakannya. Jasadnya memang tertanam dalam perut bumi. Namun, hatinya selalu hadir di tengah-tengah pada da'i, penerus hasratnya. Sebagaimana hasrat para pendahulunya.

Kini lelaki itu telah pergi. Menjumpai kekasihnya. Meninggalkan kefanaan yang kadang membuat terlena. Dan memasrahkan kebijaksanaan dakwah pada generasi setelahnya. Mahukah kita menyambut tongkat kebijaksanaan dakwah tersebut?

Saiful Bahri

Cairo, 20 Ramadan 1425